Home > News, Current Issues > Senarai Skim Cepat Kaya Dalam Siasatan

Senarai Skim Cepat Kaya Dalam Siasatan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 150,000 pelabur menanggung kerugian lebih RM300 juta kerana sikap tamak mereka untuk mendapat ‘wang besar’ dengan menyertai skim cepat kaya atau skim pelaburan haram di seluruh negara sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata sejak Januari tahun lalu hingga kini, lapan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, empat syarikat dan mereka yang disyaki mengendalikan aktiviti skim cepat kaya dihadapkan ke mahkamah.

Syarikat berkenaan adalah Gemilang Mirza Sdn Bhd, Noradz Travel & Services Sdn Bhd, Buluhmas Enterprise Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd.

Mengenai sebahagian besar mangsa penipuan yang masih berharap mendapat semula wang mereka, Abu Hassan menegaskan, ia sukar dan bergantung kepada keputusan mahkamah pada akhir perbicaraan.

“Berdasarkan rekod siasatan, lazimnya baki yang tinggal dalam akaun bank milik pengendali skim cepat kaya itu adalah kecil dan jumlah itulah yang dibekukan agensi penguatkuasaan.
“Sebahagian besar wang pelabur sama ada sudah habis dibelanjakan atau dipindahkan ke luar negara untuk kepentingan peribadi pengendali skim itu,” katanya kepada Berita Harian.

Untuk mendapat balik wang pelaburan, Abu Hassan menyarankan mangsa menyaman individu atau syarikat berkenaan menerusi proses undang-undang sivil, tetapi proses perbicaraan kes penipuan kewangan selalunya mengambil masa agak lama.

“Ia perlukan siasatan rapi membabitkan pengumpulan dan penganalisaan bahan bukti, rakaman penyataan pelabur dan suspek serta bantuan agensi berkaitan yang kadangkala mengambil masa lama,” katanya.

Abu Hassan berkata, dalam proses siasatan, semua pihak berkuasa seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan tanggungjawab selaras peruntukan undang-undang sedia ada.

“Oleh kerana tempoh penyelesaian panjang dan tiada jaminan mangsa mendapat semua modal, orang ramai disaran menghindari daripada terbabit dalam skim pelaburan meragukan, iaitu yang menjanjikan pulangan tinggi di luar jangkaan,” katanya.

Sebelum melabur, mereka dinasihatkan menyemak latar belakang syarikat atau membuat pertanyaan dengan menghubungi Bank Negara sama ada menerusi pusat perkhidmatan pelanggan, iaitu BNMLINK atau BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.

Sementara itu, bagi maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai dinasihatkan melawat laman Amaran Penipuan Kewangan di http://fraudalert.bnm.gov.my.

Categories: News, Current Issues
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: